Peratusan Pengundian PRU14 ikut kaum
Keputusan dan analisis pilihan raya Parlimen Malaysia
Untuk mengimbas kembali saya peturunkan angka ramalan berbanding keputusan sebenar dibawah:
PRU 14: PERBANDINGAN ANGKA KEPUTUSAN KERUSI PARLIMEN
ANGKA SEBENAR | BN | PH | PAS | WARI-SAN | LAIN LAIN | JUMLAH |
SEM MALAYSIA | 49 | 97 | 18 | 0 | 1 | 165 |
SARAWAK | 19 | 10 | 0 | 0 | 2 | 31 |
SABAH/ LABUAN | 11 | 6 | 0 | 8 | 1 | 26 |
JUMLAH | 79 | 113 | 18 | 8 | 4 | 222 |
ANGKA RAMALAN | ||||||
SEM MALAYSIA | 93 | 62 | 10 | 0 | 0 | 165 |
SARAWAK | 25 | 6 | 0 | 0 | 0 | 31 |
SABAH/ LABUAN | 17 | 6 | 0 | 3 | 0 | 26 |
JUMLAH | 135 | 74 | 10 | 3 | 0 | 222 |
Ramalan kali ini ternyata tersasar kerana tidak menjangka pengaruh Tun Mahathir masih begitu meluas di kalangan pengundi Melayu di hampir semua kawasan di pantai Barat Semenanjung. Bagaimanapun jangkaan penulis yang pengaruh beliau di Kelantan dan Trengganu amat terhad ternyata tepat. Disamping itu jangkaan kita yang PAS akan mengalami kekalahan teruk diluar kawasan tradisinya amat tepat sekali.
Petanda Tsunami Mahathir yang kian menghampiri pantai Barat tidak disedari oleh hampir semua opinion polls daripada agensi-agensi yang ternama. Jadi oleh kerana blog ini membuat ramalan berasas kepada data-data tersebut ramalan penulis juga jauh tersasar pada keseluruhannya.
Walaupun demikian ada dua artikel berkaitan ditulis sebagai amaran awal. Pertama, kajian sikap pengundi muda yang boleh berubah bergantung kepada keberkesanan kempen parti yang bertanding (klik di sini). Kedua, artikel “PRU 14: Pakatan Harapan Why Johor?” yang mendedahkan PH telah mampu menarik kira-kira 20% umdi Melayu di Johor dan implikasinya di negeri-negeri lain di Semenanjung (klik di sini). Akan tetapi nampaknya BN tidak menyedari hakikat ini ataupun menyedarinya tetapi tidak mampu menepis pengaruh Tun Mahathir.
Analisis sokongan pengundi Melayu
Saya telah menyiapkan analisis pilihan pengundi Melayu dengan cara regression analysis dan mendapati pada purataya seramai 46.29% daripada keseluruhan pengundi Melayu telah mengundi BN, yang tertinggi di Negeri Sembilan dan Johor melebihi 65% dan Terendah di Selangor, 34%. Purata bagi Semenanjung Malaysia, peratusan undi Melayu telah menurun 17 mata dan undi kaum India juga jatuh 17 mata ( berbanding dengan PRU 13). Ini adalah sebab utama kekalahan BN kali ini.
Sokongan pengundi dari setiap kaum kepada parti-parti adalah seperti di bawah:
Pru 14(tahun 2018): Peratusan undi mengikut kaum untuk parti di Semenanjung Malaysia
PARTI | UNDI MELAYU (peratus) | UNDI CINA (peratus) | UNDI INDIA (peratus) |
BARISAN NASIONAL | 46.29 | .2.41 | 25.97 |
PAKATAN HARAPAN | 25.47 | 92.67 | 62.95 |
PARTIPAS | 28.14 | NA | NA |
JUMLAH | 100.00 | .95.08 | 88.92 |
Sungguhpun sokongan pengundi Melayu untuk BN telah menurun dengan mendadak, ia tidak cukup untuk PPBM menembusi kawasan kubu kuat UMNO (sila klik kajian inibertarikh 10 bulan sebelum PRU 14). Ini menyebabkan kegagalan PPBM yang hanya mampu memenangi 12 kerusi . Analisis kita menunjukkan hampir kesemua kemenangan calon Melayu PH hanya diperolehi di kawasan campuran dengan undi Cina 20% keatas, kecuali di Selangor dimana pengaruh PKR lebih meluas.
Dengan keadaan demikian, tidaklah menghairankan kerajaan Persekutuan dibawah PH dibentuk oleh sebilangan minoriti 58 wakil rakyat Melayu/Islam berbanding 63 yang lain.
Untuk menambah wakil rakyat Melayu/Islam Pakatan Harapan memerlukan kerjasama daripada mereka seagama daripada parti parti lain. Agak pasti mereka akan cuba seterusnya merampas kerusi-kerusi UMNO, PAS dan parti-parti BN yang lain dalam PRU akan datang dan sebaliknya BN akan cuba merampas kembali kerusi-kerusi yang hilang. Siapa yang akan berjaya nanti masih terlalu awal hendak diramal kerana di kawasan kubu kuat UMNO, PAS dan PBB, ahli- ahlinya terbukti amat setia dengan parti masing-masing. Bagaimanapun, kini PH ada satu kelebihan sebagai parti yang memegang tampok kerajaan Persekutuan.
Apapun, kita mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana telah berundur dengan rela hati dan ini membolehkan proses peralihan yang lancar. Tahniah kepada Tun Mahathir dan kita perlu akur dengan realiti baru yang parti pembangkng kini berkuasa. Di harap Tun juga akan berundur ketika tiba masanya nanti untuk menyerahkan tampok kerajaan kepada Anwar seperti telah dipersetujui diantara mereka. Dengan zaman transisi yang lancar kita yakin Malaysia akan menempuhi zaman peralihan ke dual parti system yang berkesan dengan selamat dan menuju kearah sebuah negara yang lebih gemilang.
Dah Ikhwan
Comments
Post a Comment